Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP S'gor lulus usul gesa CEC saman ROS
Diterbitkan:  Dec 16, 2013 1:13 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Konvensyen DAP Selangor semalam meluluskan usul tergempar bagi menuntut Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengemukakan saman ke atas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Laporan Berita Harian menyebut, DAP akan mengemukakan saman tersebut sekiranya ROS tidak menarik balik larangan kepada pentadbir tertinggi DAP membuat sebarang keputusan.

Usul berkenan dipersetujui sebulat suara seramai 699 perwakilan yang hadir dalam konvensyen berkenaan, menurut laporan itu.

“Konvensyen meminta CEC membawa kes ini ke mahkamah sekiranya ROS enggan membatalkan arahan itu,” lapor Berita Harian lalu yang memetik usul tersebut.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok dalam ucapan pembukaan konvensyen berkenaan turut menyelar tindakan ROS yang didakwa membuat tindakan terpilih.

Sedangkan, perkara sama berlaku ketika pemilihan MIC, dakwanya.

“Kita lihat cara ROS mencari pasal dan mengganggu DAP selama beberapa bulan atas masalah teknikal pengiraan undi, tetapi laporan Audit Negara 2012 menunjukkan ROS sebenarnya tidak cekap dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan,” kata Kok seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Kok seterusnya membangkitkan mengenai laporan Ketua Audit Negara mengenai tahap kecekapan ROS yang didakwa tidak mengambil tindakan ke atas 90 persatuan yang tidak menghantar laporan.

Laporan itu juga memetik ucapan perasmian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut memberi amaran supaya ROS berhenti memperbesarkan isu pemilihan semula CEC itu.

“Cukuplah ROS mempermaikan DAP. Kita tidak mahu 'main' lagi dengan ROS atau kami akan lawan dengan mereka.

“Jangan ingat kita main-main... lawan tetap lawan,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

 

ADS