Pembinaan pusat perubatan kontroversi Hospital Shah Alam kini dalam proses kaliberasi dalaman dan anggota Parlimen kawasan itu kecewa kerana beliau masih tidak dapat melawatnya walaupun sudah tiga menteri bertukar.

Khalid Samad, wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, memberitahu Malaysiakini, hospital itu kini dalam proses kaliberasi dalaman untuk meletakkan mesin dan peralatan perubatan khas dalam bangunan itu.

Beliau dengan berseloroh berkata mungkin pihak kerajaan mahu hospital itu siap terlebih dahulu sebelum beliau dibenarkan melihatnya.

NONE"Proses kalibrasi semula hospital tersebut dijangka ambil masa selama enam bulan, jadi mungkin hanya selepas pertengahan hingga tahun depan boleh dibuka," kata selepas sidang media di pejabatnya di ibu negeri semalam.

Beliau sebelum itu menyatakan rasa terkilan kerana sudah lama memohon melawat tapak projek itu pada zaman pentadbiran Datuk Mohd Zin Mohamed pada 2008 lagi.

Dalam tempoh itu, katanya, beliau pada 24 Oktober lalu sudah dipanggil untuk lawatan kerja bersama menteri kerja raya baru Datuk Fadillah Yusof, tetapi mendakwa ia dibatalkan di saat-saat akhir.

Khalid bagaimanapun mahu terus mengutus surat kepada kementerian untuk melawat yang sepatutnya siap pada 2011 itu.

Oktober lalu, Fadillah berkata projek pembinaan Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 di Shah Alam sudah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada Jun tahun depan.

Hospital Shah Alam memulakan pembinaan pada pada 15 November 2007 dan dijadualkan siap pada 25 Jun 2011.

Bagaimanapun projek bernilai RM 482.6 juta tersebut mengalami kelewatan setelah mempunyai kontraktor bermasalah, menjadikannya antaranya 97 'projek sakit' yang diambil tindakan oleh kerajaan pusat.

Projek hospital tersebut ditenderkan semula pada 4 November 2010 dengan kerajaan melantik kontraktor penyelamat.

Hospital itu didirikan di atas tapak seluas 12.2 hektar itu bakal menempatkan 300 katil, selain bangunan kediaman termasuk kuarters jururawat.

Pada Jun 2011, Khalid pernah tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran pelbagai dakwaan yang membelenggu projek itu.

Ia termasuk isu dakwaan pembayaran komisyen berjuta-juta ringgit oleh syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan. Tiada tindakan SPRM dimaklumkan setakat ini.