KDN: Gantung akbar tiada kaitan dengan artikel PM
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata penggantungan akhbar mingguan The Heat tidak berkaitan penyiaran artikel mengenai perbelanjaan besar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penggunaan jet kerajaan oleh isterinya.
Memetik jurucakap kementerian, edisi atas talian The Wall Street Journal melaporkan KDN menjelaskan artikel kritis itu tiada kaitan dengan penggantungan tersebut.
"Keputusan ini tidak berkaitan dengan artikel mengenai perdana menteri, dan sebarang tuduhan sebaliknya adalah tanpa merit," kata beliau kepada T
he Wall Street Journal
.
Jurucakap yang tidak dinamakan itu berkata penggantungan adalah kerana syarikat penerbitan telah melanggar peruntukan termaktub di bawah permit percetakan.
The Heat mendapat surat tunjuk sebab bertarikh 2 Disember lalu setelah akhbar itu menerbitkan edisi akhir November mereka dengan muka depan bertajuk "All Eyes On big-spending PM Najib" (Semua mata tertumpu pada PM Najib yang berbelanja besar).
Penggantungan The Heat telah menyebabkan pentadbiran Najib dikritik teruk oleh pengamal media dan seteru politik beliau.
Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) Chin Sung Chew berkata hal itu tidak sepatutnya berlaku kepada media yang hanya menjalankan tugas kepada negara.
"Media itu sendiri hanya memainkan peranan dalam memantau segala salah laku kerajaan yang memerintah.
"Kita mesti memberi orang ramai akses kepada informasi sebegitu kerana mereka berhak, dan ia berkaitan kepentingan awam," kata beliau dalam SMS kepada Malaysiakini .
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Masjalizah Hamzah berkata penggantungan tersebut menunjukkan pentadbiran Najib tidak serius untuk menambah baik kebebasan bersuara.
" The Heat ialah mingguan baru. Ia masih cuba mencipta nama. Dalam soal itu, penggantungan ini tidak memberi impak segera kepada orang awam. Mereka (Orang awam) tidak akan merasainya.
"Tetapi mereka yang menyokong kebebasan media dan para wartawan akan merasainya. Jika ia boleh berlaku kepada The Heat , ia boleh berlaku kepada yang lain, kecuali mungkin Utusan Malaysia ," kata beliau.

