'Kalah jangan dendam, menang jangan bolot semua'
Masa depan dan kekuatan MCA bergantung sepenuhnya kepada komitmen, perpaduan serta pengorbanan daripada setiap anggota parti itu, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Beliau berkata para pemimpin dan anggota parti itu perlu lebih matang dan agresif untuk parti kekal relevan dalam kalangan masyarakat, khususnya kaum Cina.
"Masih banyak yang perlu kita lakukan demi masa depan parti ini, demi perpaduan dan penyatuan kita semua.
"Kita juga perlu menyusun semula organisasi kita selari dengan proses transformasi sebagai persediaan ke arah pilihan raya umum akan datang," katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-60 di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.
Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut dihadiri pemimpin parti komponen BN termasuk Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sehubungan itu, Dr Chua menyarankan kepimpinan tertinggi baharu yang akan dipilih agar belajar untuk memberi ruang kepada suara dan kumpulan yang berlainan di dalam parti bagi membolehkan MCA terus maju ke hadapan.
Dalam amanat terakhirnya, beliau berkata para anggota menaruh harapan tinggi bahawa kepimpinan pusat yang baharu bersatu, selepas pemilihan selesai.
Pada Disember lepas, Dr Chua mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan hari ini berikutan kekalahan teruk MCA dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kepada pemimpin dan anggota parti yang kalah, janganlah menyimpan perasaan dendam, kerana jika tidak, segala proses transformasi yang kita inginkan sekadar menjadi mainan di bibir semata-mata.
"Kita tidak mahu melihat situasi yang menang membolot semua manakala yang tewas kehilangan semua selepas pemilihan ini nanti," katanya.
Dr Chua berkata menjadi tanggungjawab sepenuhnya kepimpinan baharu untuk memimpin dan merangka masa depan dan hala tuju parti.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap perdana menteri dapat memperuntukkan satu peruntukan khas sekurang-kurangnya RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan pada tahun hadapan.
Katanya MCA juga menyatakan sokongan padu ke atas pelaksanaan polisi Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang akan membantu memperluaskan dasar percukaian negara.
Dalam nada rendah diri, Dr Chua juga mengambil peluang merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua anggota parti yang selama ini memberikan sokongan kepadanya selama 28 tahun di dalam MCA.
"Lepas pemilihan parti, saya masih seorang perwakilan pusat dan saya akan memainkan peranan yang sewajarnya sebagai perwakilan pusat," katanya.
Seramai 2,385 perwakilan akan memilih kepimpinan tinggi MCA iaitu jawatan presiden, timbalan presiden, empat naib presiden dan 25 anggota jawatankuasa pusat tengah hari ini.
- Bernama

