Jahara mahu saman Guan Eng kes 'nenek rasis'
Ketua pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Lim Guan Eng atas gelaran “nenek rasis” yang diberikan oleh ketua menteri itu.
Laporan Utusan Malaysia menyebut, Jahara menetapkan tempoh selama seminggu kepada Guan Eng untuk meminta maaf sekiranya tidak mahu disaman atas “serangan peribadi” itu.
Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyebut sekiranya Jahara menjelaskan bahawa kenyataannya terdahulu tidak bersifat rasis.
"Memfitnah saya sebagai pembohong merupakan serangan peribadi yang serius dan menjatuhkan maruah saya sebagai seorang perempuan dan Ketua Pembangkang DUN.
"Kata-kata berbentuk serangan peribadi ke atas saya adalah tidak wajar dan saya meminta Guan Eng memohon maaf secara terbuka demi menjaga prinsip kebebasan bersuara dan keutuhan institusi DUN serta memelihara kehormatan dan integriti ketua Menteri dan Ketua Pembangkang," katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
Lim pada 10 Disember lalu memohon maaf kepada Jahara Hamid kerana menggelar ketua pembangkang negeri sebagai "nenek" namun mempertahankan tindakannya yang menggelar pemimpin Umno itu sebagai rasis .
Ini kerana, kata setiausaha agung DAP itu, Jahara (kiri) bertindak menyemarakkan api perkauman dan agama dalam kenyataannya berhubung nama Pulau Jerjak dan tindakan terhadap pengusaha di Pantai Bersih, Butterworth.
"Seandainya ketua pembangkang DUN Pulau Pinang terasa hati secara peribadi kerana saya memanggilnya seorang nenek yang rasis kerana ia terkait dengan gendernya, maka saya akan memanggilnya seorang rasis sahaja," katanya.
Lim berkata, Jahara berbohong apabila mendakwa beliau meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazhu (seorang dewa Cina) kerana meluluskan tokong Mazhu.
"Pembohongan ini memainkan sentimen agama sedangkan Pulau Mazhu ini tidak wujud pun," katanya.
Sementara itu, dalam itu Pulau Bersih pula, Lim berkata, Jahara sengaja tidak menyebut bahawa tiada tindakan diambil terhadap lebih 4 pengusaha gerai Melayu tanpa lesen dalam kawasan itu.
"Jelas sekali tidak wujud pilih kasih seperti yang didakwa," katanya.

