Satu tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati para pengundi amat bimbang dengan kenaikan kos sara hidup, termasuk harga barang, harga minyak dan tarif elektrik.

Tinjauan ke atas 1,676 responden itu juga mendapati, 55 peratus daripadanya tidak percaya bahawa Belanjawan 2014 mampu mengurangkan kos hidup.

Seramai 52 peratus responden juga tidak yakin pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu mengurangkan kos sara hidup, menurut kajian tersebut.

Kajian yang dinamakan Kajian Politik Enam Bulan Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 itu ke atas responden di semenanjung Malaysia dijalankan dalam tempoh antara 6 hingga 8 Disember baru-baru ini.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ( kiri ) berkata pemberian BR1M pada pilihan raya lalu berjaya meningkatkan sokongan pengundi kepada kerajaan BN.

Bagaimanapun, tambahnya, kenaikan kos hidup menyebabkan ia tidak lagi berkesan bagi mencapai matlamat itu bagi pilihan raya akan datang.

"Kajian menunjukkan ada permintaan supaya bayaran (BR1M) lebih daripada apa yang diterima sebelum ini dilakukan.

"Mungkin dalam PRU13 BR1M meningkatkan sokongan kepada BN, dalam PRU ke-14 belum tentu lagi," katanya.

61% tolak GST

Kajian sama juga mendapati 61 peratus responden tidak bersetuju dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula tahun 2015.

Felo Umcedel, Dr Shahabudin Badarudin yang turut hadir pada pembentangan itu berpendapat kempen yang dilakukan kerajaan untuk memujuk orang ramai menerima pelaksanaan GST masih belum berjaya membentuk persepsi yang diingini.

Pada masa sama katanya, kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh menteri seperti dakwaan bahawa akan barang akan menurun dengan pelaksanaan GST juga memburukkan lagi keadaan.

"Persepsinya kini lebih berpihak kepada pembangkang. Jawapan yang diberikan oleh pihak menteri (tentang GST) juga kadang kala tidak jelas.

"Buat masa ini persepsi tentang GST ini dikawal oleh pembangkang," katanya.

Isu 'jet Rosmah' dirahsiakan

Menariknya, tinjauan sama turut mengkaji persepsi responden terhadap tindakan isteri perdana menteri menggunakan jet yang dibiayai oleh kerajaan untuk lawatan ke luar negara.

Umcedel bagaimana pun, memutuskan untuk merahsiakan dapatan daripada tinjauan itu.

"Maklumat ini kami tak keluarkan kerana penuh kontroversi. Semua orang tahu ini isu sensitif, dan tidak mudah untuk Umcedel.

"Kita mahu berada dalam keadaan yang seneutral yang boleh," kata Redzuan sambil tersenyum penuh makna sewaktu pembentangannya.