Demo: Polis cari Chegubard pada malam Natal
Polis mengunjungi rumah aktivis Badrul Hisham Shahrin di Seremban pada Selasa malam, dipercayai ekoran penganjuran himpunan membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.
Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Edy Noor Reduan (
kanan
) berkata, sembilan anggota polis diketuai seorang inspektor datang ke kediaman Badrul di Bukit Chedang, Seremban dan rumah ibunya yang berdekatan.
Bagaimanapun, ketika kunjungan pada malam Hari Natal itu, Badrul berada di luar kawasan dan hanya akan pulang keesokan harinya.
“Sebagai warga yang baik, Chegubard (Badrul) akan hadir sendiri ke mana-mana balai polis jika diperlukan,” kata Edy.
Badrul merupakan pengasas dan penyelaras SAMM.
Dalam kenyataannya semalam, Edy berkata, keluarga Badrul juga bertanya sama ada tujuan kedatangan polis berkaitan perhimpunan pada 31 Disember ini namun tiada sebarang kepastian diberikan.
Pihak polis hanya menjelaskan, arahan Bukit Aman untuk 'bertemu' Badrul, tambah Edy.
Selain SAMM, gabungan NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) turut menganjurkan perhimpunan bermatlamat sama, juga di Dataran Merdeka pada tarikh dan waktu yang sama.

