Pesanan pensyarah: Cukuplah beri amaran
Seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong menggesa orang Cina dan India agar menghargai pengorbanan orang Melayu dan bumiputera yang membenarkan kaum lain menjadi warganegara tetapi mengekalkan identiti asal mereka.
Teo yang merupakan Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu membuat gesaan itu sewaktu mengulas peringatan perdana menteri agar semua pihak menjaga sensitiviti antara kaum dan tidak menyakiti satu sama lain termasuk antara orang Islam dan Kristian.
"Kaum Cina dan India perlu lebih peka terhadap sensitiviti penduduk pribumi kerana bukan mudah untuk orang asal membenarkan orang luar menduduki tanah air mereka buat selama-lamanya dengan mengamalkan identiti masing-masing.
“Misalnya di Indonesia, jika terdapat kaum Cina, mereka perlu menukar identiti kepada bangsa Indonesia yang berteraskan Melayu.
Oleh itu, kita perlu menghargai peranan dan jasa pribumi selama ini," katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Berita yang sama turut memetik Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang menggesa agar amaran dihentikan kepada mereka yang mengganggu sensitiviti kaum.
Beliau sebaliknya menggesa agar tindakan tegas diambil.
"Sudah dan cukuplah sekadar memberi amaran. Lihat, segelintir pihak yang sering menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara ini terus bertambah dan semakin berani.
"Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa perlu menangkap, menyoal siasat dan mendakwa mana-mana pihak yang membangkitkan sensitiviti kaum dan agama.
"Selepas itu siarkan dalam media supaya masyarakat tahu tentang implikasinya," katanya.

