Bekas ketua polis negara Tan Sri Norian Mai yakin bahawa perhimpunan yang dirancang untuk membantah kenaikan kos sara hidup di Dataran Merdeka esok tidak akan menjadi demonstrasi ganas untuk menggulingkan kerajaan.
Menurutnya, beliau yakin dengan kemampuan pihak polis untuk mencegah sebarang cubaan mengganggu sambutan tahun baru 2014 di lokasi tersebut.
Beliau juga yakin bahawa rakyat Malaysia bersikap rasional dan tidak akan mengizinkan perkara demikian berlaku.
"Saya berkeyakinan dengan kemampuan polis untuk kendali situasi begini kalau wujud.
"Kedua, saya yakin dengan masyarakat Malaysia yang rasional.
"Atas dua premis ini, saya yakin perkara ini tak akan berlaku," katanya pada sidang media di Shah Alam petang ini.
NGO Turun Kos Sara Hidup dan tiga yang lain merancang untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah kenaikan kos tersebut di Dataran Merdeka yang menjadi salah satu lokasi utama sambutan tahun baru malam esok.
Pihak polis bagaimanapun mendakwa perhimpunan tersebut bertujuan untuk "menggulingkan kerajaan" dan peserta yang hadir pula muungkin merancang untuk membuat pengeboman
TURUN telah menafikan yang kumpulan mereka menganjurkan himpunan menggulingkan kerajaan itu dan menegaskan mereka hanya memprotes kenaikan harga barang.
Mengulas lanjut, Norian yang juga pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia berkata turut menyeru mereka yang mahu membantah kenaikan harga barang agar menggunakan saluran yang betul bagi berbuat demikian.
"Kalau ingin suarakan bantahan, kita ada saluran yang cukup.
"Jika tak dibenarkan, pihak penganjur mestilah menghormati dan cari tempat yang sesuai yang kebiasaannya dibenarkan berhimpun," katanya.
