Tokoh agama mahu tindakan tegas termasuk melucutkan kerakyatan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencabar keputusan fatwa, mahkamah, Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Mereka mahu tindakan tegas itu dilaksanakan dengan segera sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat keselamatan negara dengan tidak menghormati sensitiviti agama dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini, lapor Berita Harian .

Dalam laporan itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Abdul Shukor Hussin berkata tanpa tindakan tegas termasuk mengikut Akta Hasutan 1948, dibimbangi isu seperti mencabar keputusan fatwa yang diwartakan di Selangor akan berlarutan sehingga menimbulkan kekacauan dan kemusnahan kepada rakyat.

Kesal dengan tindakan gereja Katolik di Selangor yang mahu terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya, Abdul Shukor berkata keadaan akan menjadi lebih buruk jika peruntukan enakmen dan akta tidak dipatuhi lagi.

"Tindakan mereka secara jelas mencabar dan melanggar fatwa dan titah Sultan Selangor selaku ketua agama dan pemerintah negeri.

"Sewajarnya selaku orang agama, pihak berkenaan (gereja) perlu memahami hakikat itu kerana tindakan mereka pasti akan mengundang rasa tidak puas hati umat Islam," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu.

Pengarang mingguan Catholic Herald, Father Lawrence Andrew dilapor berkata Artikel 11(3)(A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan setiap agama berhak mengurus hal ehwal keagamaannya sendiri.

Sementara itu, dalam laporan yang sama juga, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria meminta pihak berkuasa tidak lagi berkompromi dalam isu berkenaan dan menyifatkan mereka yang menentang dan menghina Islam dengan mencabar keputusan mahkamah, Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja sebagai pengkhianat.

Tegasnya, selain wajar dikenakan tindakan tegas termasuk dipenjara dan dilucutkan kerakyatan, kerajaan perlu mengharamkan gereja yang terus menggunakan kalimah Allah.

Laporan itu juga menyebut, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan kerajaan mengamalkan sikap berlembut tidak bertempat, turut mendesak penguatkuasaan enakmen yang sebelum ini tidak dikuatkuasakan bagi memastikan tiada pihak yang cuba "bermain api".

Katanya, larangan penggunaan kalimah Allah berada dalam bidang sivil yang turut mengikat orang bukan Islam untuk mematuhinya kerana soal akidah, umat Islam tidak boleh berkompromi dengan penganut agama lain.