Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuatkuasa semalam untuk tempoh dua tahun.

    

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini, pelantikan semula Sahol Hamid bagi memastikan kesinambungan pelan pembangunan UiTM selain membantu universiti berkenaan melahirkan graduan bumiputera yang berkualiti tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

    

"Di samping itu, Kementerian Pendidikan berharap pencapaian UiTM dapat dipertingkatkan menerusi pemantapan barisan kepimpinan dan organisasi, kualiti staf akademik, kualiti pembelajaran dan pengajaran, dan pembangunan aplikasi sains dan teknologi," kata kenyataan itu.

    

Sahol Hamid yang akan menyambut ulang tahun ke-60 pada 9 Jan ini, pertama kali dilantik sebagai naib canselor UiTM pada Januari 2010 dan dilantik semula untuk tempoh dua tahun pada Januari 2011.

    

Bekas graduan Institut Teknologi Mara (sebelum dinaik taraf UiTM) itu memulakan kerjaya dengan UiTM sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan pada 1980 dan pernah menjadi dekan Fakulti Kejuruteraan, pengarah kampus UiTM Pulau Pinang dan timbalan naib canselor akademik dan pengantarabangsaan universiti itu.

Selain Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari UiTM pada 1977, beliau juga memiliki ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dan kejuruteraan awam dari Colorado State University, Amerika Syarikat dan ijazah doktor falsafah dari University of Sussex, United Kingdom.

    

Pada 2008, beliau dilantik sebagai pengarah di Pejabat Pengurusan Projek Kementerian Pengajian Tinggi.

    

Sahol Hamid juga merupakan orang Asia dan rakyat Malaysia pertama menerima ijazah kehormat kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dari University of Stuttgart, Jerman. Beliau menerima ijazah itu pada 18 November 2011.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS