Kumpulan LGBT kecam SMS palsu kaitkannya
Kumpulan kesamarataan gender - Seksualiti Merdeka - menafikan sebarang penglibatan dalam perhimpunan anti kenaikan harga pada malam Tahun Baru.
Pengasas bersama kumpulan itu, Pang Khee Theik menafikan SMS yang mendakwa Seksualiti Merdeka turut menggerakkan orang ramai sebagai sebahagian daripada perhimpunan anjuran NGO TURUN itu.
SMS itu mengenalpasti telefon pengirimnya milik Penyelaras Suaram, Ahmad Syukri Ab Razab, yang memberitahu satu sidang akhbar sebelum perhimpunan itu bahawa nombor telefonnya telah "disalahgunakan" untuk menghantar SMS tersebut.
Pang menegaskan bahawa Seksualiti Merdeka tidak terlibat dengan NGO TURUN, bukan ahli gabungan penganjur perhimpunan tersebut, dan tidak menghantar mesej sedemikian.
"Tambahan pula, Seksualiti Merdeka adalah 'non-partisan' dan tidak bergabung dengan BN mahupun Pakatan. SMS ini jelas direka," kata Pang (kiri) dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kandungan SMS yang meminta supaya menyokong pakatan pembangkang.

