Seorang pelajar yang dilaporkan mencederakan gurunya dengan senjata tajam pada hari pertama persekolahan di sebuah sekolah menengah di Kuala Perlis semalam, ditahan polis awal semalam.

    

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, DSP Ismail Che Isa berkata, pelajar tingkatan lima itu ditahan di rumahnya di Kuala Perlis kira-kira pukul 1 pagi dan sejenis senjata tajam seperti kerambit yang dipercayai digunakan dalam kes itu turut dirampas.

    

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pelajar berkenaan dikatakan menggunakan senjata tajam buatan sendiri bagi mencederakan muka guru lelaki berusia 50 tahun kerana menegurnya yang berambut 'punk'.

    

Berang dengan teguran itu, pelajar berkenaan dikatakan bertindak ganas dengan mencederakan gurunya itu.

    

Ismail berkata, guru itu mengalami calar di bawah mata kanan akibat tindakan pelajar berusia 17 tahun itu dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.

    

"Kami telah mendapat perintah menahan reman pelajar itu sehingga Isnin ini," kata Ismail ketika diminta mengulas kejadian pada hari pertama persekolahan itu kelmarin.

    

Sementara itu, guru terbabit yang ditemui pemberita enggan mengulas sebaliknya berkata beliau menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

- Bernama