Seorang lelaki yang mengalami gangguan mental ditemui mati dalam keadaan 100 peratus melecur selepas meletupkan diri dengan tong gas memasak di rumahnya di Flat Seri Impian, Farlim di George Town semalam.

    

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, keseluruhan tubuh Lee Hooi Han, 43, melecur teruk dipercayai akibat terkena sambaran api berikutan letupan itu.

    

"Kita turut menemui pemetik api tidak jauh dari mayat lelaki itu dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," kata Pakar Perunding Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

    

Bapa lelaki itu, Lee Thean Huat, 78, yang menerima maklumat kejadian daripada jiran anaknya, berkata Hooi Han seorang duda dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

    

"Baru-baru ini dia mengalami tekanan perasaan yang teruk... sudah dua tahun anak saya alami gangguan mental sehingga dia terpaksa berhenti kerja di sebuah kelab malam di sini," katanya.

    

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan setakat ini kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

- Bernama