Jika pindaan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 diluluskan, "akibat yang saya lihat menunggu kita adalah huru-hara di kalangan rakyat, terutama rakyat Selangor," kata Presiden Jalur Tiga Malaysia (JATI), Datuk Hasan Ali.

Diminta mengulas lanjut, beliau berkata, negara-negara Islam lain tanpa undang-undang seumpama itu, seperti Indonesia, telah mengalami kegawatan dan dalam proses 'dikristiankan'.

"Itu adalah pilihan mereka, tetapi bagi kita di Malaysia, saya ingin

bertanya kepada rakan-rakan yang hadir: Redakah anak tuan-tuan yang Islam, oleh kerana kita tidak mempunyai peraturan-peraturan yang ditetapkan, redakah anak kita dikristiankan?

"Redakah kita yang mengatakan bahawa bila anak-anak ini sampai kepada peringkat umur 18 tahun ke, 21 tahun ke, mak bapa tiada lagi tanggungjawab untuk menetapkan agama kepada anak-anak yang mereka lahirkan dan mereka besarkan itu. Sanggupkah kita?" katanya dalam satu sidang akhbar di kediamannya hari ini.

Satu lagi aspek, tegas beliau, ialah pindaan itu mungkin termasuk unsur-unsur tafsiran Pakatan Rakyat tentang hak asasi manusia yang katanya, akan menghalalkan tingkah laku homoseksual.

"Mungkin ada yang akan berkata saya memberitahu cerita dongeng, tetapi ini bukan kisah dongeng. Bukankah ini pun berlaku di Eropah? Di Amerika? Malah di Asia, fenomena ini berlaku secara tidak rasmi," katanya.

Hasan mengulas kenyataan bersama ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San semalam, yang menggesa supaya subseksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988, dikaji semula.

Enakmen itu melarang kalimah 'Allah' dan 34 perkataan Arab yang lain daripada digunakan dalam konteks bukan Islam.

Tiga ADUN DAP itu berhujah bahawa walaupun Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan mempunyai sekatan ke atas pengembangan agama di kalangan orang Islam, tetapi ia tidak menjejaskan bagaimana orang bukan Islam mengamalkan agama mereka, termasuk bahasa pilihan mereka.

Mereka menegaskan bahawa kebebasan beragama dijamin di bawah Perkara 11 (1) dan 11 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu dibuat berikutan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Bible Society Malaysia (BSM) pada hari Khamis dan merampas Bible dalam bahasa Melayu serta menyiasat pemimpinnya di bawah enakmen yang sama.

Walaupun memberi peringatan tersebut, Hasan (kiri) berkata, beliau bagaimanapun "mengalu-alukan" pindaan itu dibincangkan dalam mesyuarat exco negeri serta dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tegasnya, perbahasan DUN disiarkan secara langsung dan ia akan menjadi satu peluang yang baik untuk rakyat menilai wakil rakyat mereka berhubung pendirian mereka mengenai enakmen itu.

"Kalau misalnya pindaan itu diluluskan, bayangkan kesannya. Kesannya bukan sahaja kepada Selangor, bukan sahaja kepada 13 negeri yang lain, kesannya bukan sahaja kepada peruntukan yang sama pada peringkat federal.

"Akibat yang saya lihat menunggu kita adalah huru-hara di kalangan rakyat, terutama rakyat Selangor," katanya.

Bekas exco negeri Selagor itu turut mempertahankan serbuan JAIS di BSM, dengan menegaskan bahawa ia dilakukan mengikut undang-undang sedia ada, terutamanya enakmen yang dikuatkuasakannya.

Tambahnya JAIS juga berhak untuk bertindak tanpa memberi notis terlebih dahulu kepada sesiapa, terutama yang membabitkan serbuan rahsia.

Ditanya mengenai hujah-hujah bahawa JAIS tidak mempunyai bidangkuasa ke atas orang bukan Islam, Hasan menolaknya sebagai 'tafsiran mereka' tentang undang-undang.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya, tafsiran JAIS adalah jabatan itu adalah agensi utama untuk menguatkuasakan enakmen agama, peraturan, dan fatwa di Selangor, termasuk Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Kalau kita mengatakan bahawa JAIS tidak ada hak merampas, menyerbu, dan sebagainya, saya merasakan di negeri Selangor ini, bila ada peruntukan yang sedemikian, badan mana lagi? Cuba tanyakan, badan mana lagi? Nak diserahkan kepada NGO ke? nak diserahkan kepada mana-mana badan lain ke?, ataupun nak serahkan kepada mereka yang berkomen negatif tentang apa yang dibuat oleh JAIS?

"Saya rasa secara logiknya, secara praktikalnya, secara undang-undangnya, memanglah tugas itu diserahkan kepada JAIS," katanya.

[Baca berita penuh]