Seorang anggota polis maut selepas tergelincir dan terjerut tali nilon ketika bergurau dengan dua anaknya dalam kejadian di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di Johor Bahru semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya yang menerima laporan pada pukul 9.30 malam menemui mayat Koperal Mohammad Hamid@Anthony Abdullah, 45, terbaring di atas lantai di rumah terbabit.
"Dua anak Mohammad Hamid yang berumur 10 dan 14 tahun berada di rumah itu dan polis turut menemui seutas tali nilon berhampiran mayatnya," kata Hasnan dalam kenyataan, di Johor Bahru semalam.
Menurut Hasnan, Allahyarham dipercayai sedang bermain dengan dua anaknya menggunakan tali nilon yang digantung pada jeriji tingkap beranda rumah, sebelum tergelincir dan jatuh ke lantai lalu terjerut.
Keadaan fizikal Mohammad Hamid adalah lemah ketika kejadian kerana beliau menghidap penyakit hati tahap kritikal serta sedang menerima rawatan intensif di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, katanya.
Polis mengklasifikasikan kematian Mohammad Hamid yang berasal dari Kanowit, Sarawak sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut sedang dijalankan, katanya menambah Allahyarham meninggalkan empat anak.
- Bernama
