Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GERAMM sedia disiasat, tegas hanya 'permulaan'
Diterbitkan:  Jan 6, 2014 12:48 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Gerakan Media Marah (GERAMM), penganjur perhimpunan menuntut kebebasan media dan menyokong The Heat di ibu negara Sabtu lalu rela disiasat polis dan memikul tanggungjawab penuh  atas acara itu.
 
Perkumpulan longgar wartawan itu bagaimanapun menegaskan protes itu hanya satu permulaan dan ia tidak mengendurkan semangat “berani lawan” mereka.
 
“Jika benar laporan The Sun (malam) tadi, saya sedia disiasat isu Protes Pensel Merah. Saya ambil penuh tanggungjawab.
 
“Saya beri kerjasama penuh pada polis untuk siasatan ini seperti polis tidak ganggu hak kami adakan Protes Pensel Merah 4 Januari,” kata jurucakap GERAMM Fathi Aris Omar ( gambar atas, dua dari kanan ) yang memimpin perhimpunan itu.
 
The Sun malam tadi melaporkan, polis sudah memulakan siasatan terhadap penganjuran “Protes Pensil Merah” oleh kumpulan wartawan dan aktivis media kerana gagal memberikan notis berhimpun 10 hari lebih awal. 
 
Ketua CID polis Kuala Lumpur SAC Datuk Ku Chin Wah bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Anggap proses biasa

 
Sementara itu, dalam kenyataannya di Twitter beliau malam tadi, Fathi juga berkata, sebagai editor, siasatan selalunya “proses biasa” yang sudah lama dilaluinya.
 
“Saya tunggu notis rasmi pihak berwajib,” katanya lagi.
 
Sabtu lalu, peserta perhimpunan itu bermandi hujan dengan berkumpul di dataran dekat Leboh Pasar Besar di ibu negara dan berarak sehingga Masjid Jamek bagi menyatakan bantahan mereka.
 
Selain pembatalan penggantungan The Heat, GERAMM mengemukakan tujuh lagi tuntutan, termasuk menyiasat semula dengan rapi insiden keganasan terhadap wartawan dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang belum selesai.
 
Mereka turut mematahkan pensel merah beramai-ramai sebagai lambang wartawan yang tercedera dan patahnya kebebasan media di negara ini.
 
Turut hadir menyokong perhimpunan itu termasuk, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang, bekas pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga dan aktivis Datuk Marina Mahathir.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS