Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Kluang tawar diri jadi pengerusi DAP Johor

Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong hari ini menyatakan kesediaan menjadi pengerusi DAP Johor yang baru andai memenangi pemilihan jawatankuasa DAP negeri pada 12 Januari ini.

    

"Saya dengan ini menyatakan kesediaan untuk menyertai pemilihan DAP negeri Johor pada 12 Januari 2014. Seandainya dipilih sebagai seorang daripada 15 anggota jawatankuasa negeri, saya rela menawarkan khidmat sebagai pengerusi negeri," katanya dalam satu kenyataan di Johor Baharu.

    

Katanya beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira sokongan daripada anggota dan penyokong DAP serta parti sekutu mereka yang menggalakkannya meneraju DAP Johor.

    

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau yang menyandang jawatan berkenaan sejak dua penggal lepas, sehingga kini belum menyatakan pendirian sama ada akan menyertai pemilihan kali ini.

    

Ketika dihubungi Bernama bagi mengulas kenyataan Liew hari ini, Dr Boo hanya menjawab: "No Comment."    

Baru-baru ini, dua pemimpin kanan DAP Johor iaitu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Ong Kow Meng dan bekas Adun Bentayan Gwee Tong Hiang secara terbuka meminta Dr Boo yang juga Adun Skudai melepaskan jawatannya sebagai pengerusi DAP Johor.

    

Ong yang juga Naib Pengerusi DAP negeri berkata sudah tiba masanya DAP Johor dipimpin oleh pemimpin-pemimpin baharu yang lebih berkaliber seperti Liew dan Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

    

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS