Edisi ke-20 Piala Dunia FIFA peringkat akhir di Brazil dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 tahun ini mampu meningkatkan sektor media tahun ini dalam menyediakan sentimen positif kepada

pengguna.

Di samping faktor keriangan, tradisi festival Tahun Baru Cina juga mampu menyediakan peningkatan jangka pendek kepada perbelanjaan iklan, kata Kenanga Research dalam nota kajiannya hari ini.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan kasar perbelanjaan untuk pengiklanan sebanyak +6.8 peratus berbanding kalendar tahun 2014, terdapat potensi semakan menurun jika kesan negatif menjadi lebih teruk berbanding jangkaan," katanya.

Kenanga Research menurunkan unjuran sektor itu kepada kurang berprestasi tahun ini berdasarkan cabaran dalam unjuran perbelanjaan pengiklanan selain kurangnya pemangkin utama untuk penarafan semula.

Sementara itu, firma penyelidikan menjangkakan suku pertama 2014 agak suram berdasarkan faktor kurangnya acara utama dan faktor bermusim.

Kebanyakan pengiklan terpaksa menjimatkan bajet pengiklanan dan promosi bagi dua bulan pertama tahun baharu dan merundingkan semula kos baharu pengiklanan, katanya.

Tambahan pula dasar antilambakan kertas di Kanada, Indonesia, Korea Selatan, Filipina dan US, sudah sampai masa untuk dikaji semula.

"Sekiranya berlaku pengurangan atau pemansuhan dasar antilambakan, ia mungkin boleh mengurangkan tekanan ke atas harga kertas domestik dan sekali gus memberi manfaat kepada sektor media," kata Kenanga Research.

Bagi segmen TV, firma penyelidikan itu berpendapat sebarang kemajuan kukuh dalam pengumuman akan datang bagi projek penyiaran televisyen wilayah digital boleh menggerakkan segmen itu ke era baharu, terutama TV berbayar.

- Bernama