Seorang bayi perempuan berusia 18 bulan nyaris lemas akibat asap tebal apabila rumah neneknya musnah dalam kebakaran di Jalan Biru, Kampung Berjaya di Alor Setar semalam.

    

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, Lee Kar Haw yang sedang tidur, diselamatkan ibunya Bok Wan Ying, 36, selepas menyedari rumah mertuanya yang terletak bersebelahan rumah mereka terbakar.

Bok berkata ketika itu dia bersama suami Lee See Kheng, 42, sedang memasak di belakang rumah sebelum tiba-tiba terdengar jeritan jiran memberitahu rumah ibu mertuanya terbakar.

    

"Saya teringat anak saya ada dalam bilik bawah dekat dengan rumah ibu yang terbakar. Rumah kami rumah kayu berkembar, kalau tak dengar orang jerit tak tau apa yang jadi," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

    

Katanya dia juga bersyukur kerana ketika kejadian ibu mertuanya pergi ke sebuah klinik berhampiran.

    

Sementara itu, Penguasa Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Mohamad Yunus Abu berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.50 petang dan sampai di tempat kejadian pukul 5 petang.

    

Beliau berkata 10 anggotanya serta dua jentera berjaya mengawal dan memadam kebakaran pada pukul 5.12 petang.

    

Katanya jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    

- Bernama