Selepas 6 bulan tinggal di khemah...
Selepas berbulan-bulan tidur di bawah khemah sementara, penduduk flat Taman Permata Dengkil yang enggan kembali menginap di unit kediaman mereka kerana takut blok tersebut runtuh, akhirnya menerima perkhabaran bahawa kerajaan persekutuan akan membina rumah baru untuk mereka.
Satu posting di laman Facebook penduduk terbabit berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengeluarkan surat bersetuju untuk membina rumah di tapak seluas 30 ekar yang diperuntukkan oleh kerajaan Selangor.
Mereka menyifatkannya sebagai hasil perjuangan bekas pekerja ladang - yang merujuk kepada penduduk di situ, yang kebanyakan bekas pekerja ladang yang dipindahkan secara tergesa-gesa ke flat berkenaan untuk memberi laluan kepada pembinaan Putrajaya pada 1999.
Menurut surat bertarikh 7 Januari itu, kementerian telah melihat tapak tersebut, yang kini dimiliki Sime Darby Bhd, sebagai sesuai untuk pembinaan 400 rumah setingkat.
Kerajaan negeri yang mencadangkan tapak tersebut kepada pihak kementerian, ditugaskan untuk memperolehinya daripada Sime Darby.
Jun lalu, bunyi dan gegaran yang kuat menyebabkan penduduk Blok 5 flat bergegas keluar meninggalkan kediaman mereka.
Keretakan kemudiannya muncul di dinding dan tiang blok, menyebabkan penduduk memilih untuk tinggal di khemah sementara di seberang jalan di situ.
Penduduk, yang kebanyakannya bekas pekerja ladang, mendakwa mereka berpindahkan sementara ke flat tersebut pada 1999 dan mereka telah membuat bayaran pendahuluan untuk rumah teres kos rendah, tetapi ianya tidak menjadi kenyataan.

