Syarikat Syed Mokhtar dapat projek siaran digital
Jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary menerusi syarikat yang dikaitkan dengannya, Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) berjaya memperolehi tender untuk membina, mengendali dan menguruskan infrastruktur Penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTTB) di Malaysia.
Syarikatnya itu malah berjaya menewaskan syarikat yang dikaitkan dengan Sultan Johor, Redtone Network Sdn Bhd, dalam bidaan untuk sistem perkhidmatan tersebut.
Satu kenyataan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyebut, satu lagi syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak itu adalah i-Media Broadcasting Solution.
Bidaan ini dibuat selepas perjanjian baru Puncak Semangat pada Julai 2013 dengan Axiata Group Bhd untuk perkongsian spektrum eksklusif bagi menyediakan perkhidmatan 4G, menerusi Altel Communications.
Dalam kenyataannya, SKMM berkata projek itu bagi membina, mengoperasi dan menguruskan kemudahan penyiaran percuma di Malaysia, dan ia akan dibiayai sepenuhnya menerusi pelaburan pembida itu sendiri.
Dengan ini, penyiar seperti RTM akan mampu mewujudkan lebih banyak saluran radio dan televisyen dan pada masa sama menyediakan khidmat lain seperti audio pelbagai bahasa dan panduan program elektronik.
Menurut SKMM, tender tersebut tdibuka pada 22 April untuk cadangan terbaik bagi perpindahan sepenuhnya penyiaran percuma ke pelantar digital sepenuhnya.
Menurut SKMM, dokumen tender itu dibeli oleh 66 syarikat termasuklah pembekal peralatan dan pemain industri telekomunikasi.
Namun akhirnya, hanya lapan cadangan diserahkan kepada SKMM.
Puncak Semangat dipilih selepas pusingan terakhir penilaian yang meliputi semakan terperinci terhadap rancangan perniagaan.
Menurut SKMM, penilaian itu dibuat oleh pakar berkelayakan dari Jun sehingga Oktober 2013.
Empayar Syed Mokhtar meliputi syarikat-syarikat berikut:
Makanan (CSR, Bernas),
Pembinaan pengangkutan awam (MMC Gamuda KVMRT),
Pelabuhan (Johor Ports, Pelabuhan Tanjung Pelepas),
Kereta (Proton, EON, Honda Malaysia)
Perbankan (Bank Muamalat)
Logistik (Pos Malaysia)
Pertahanan (DRB Defence Technologies)
Komoditi (Gas Malaysia)

