Polis Terengganu kini sedang giat memburu seorang kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang petugas Yayasan Islam Terengganu, Mohd Noor Mat, Ahad lalu.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata polis telah melakukan serbuan di rumah suspek berusia 51 tahun itu di Besut, namun gagal mengesannya.

    

"Kita telah mengenal pasti suspek utama yang terlibat dan kita minta suspek tampil menyerah diri ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu hari ini.

    

Katanya, suspek dipercayai sedang bersembunyi di tempat lain dan yakin dia dan beberapa individu lain akan diberkas dalam masa terdekat.

    

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.50 petang di hadapan Dewan Gong Kemuntong ketika Mohd Noor, 47, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Raja, Jerteh, Besut.

    

Mangsa telah disekat sekumpulan lelaki sehingga berlaku pertengkaran sebelum mangsa ditumbuk dan dipukul.

    

Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan dan telah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan serta dibenarkan keluar pagi, semalam.

    

Sementara itu, Manoharan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan penyebaran fitnah yang mengatakan mangsa telah meninggal akibat pukulan itu.

    

Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang menyebarkan berita kematian mangsa melalui laman sosial Facebook.

    

Pada 2007, Mohd Noor pernah mengharumkan nama Daerah Besut setelah menyahut cabaran Menteri Besar Terengganu ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh untuk berjalan kaki dari Kemaman hingga Besut.

    

Beliau mengulangi kejayaan itu tahun lepas dengan berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya sejauh 600 kilometer sebagai melunaskan nazarnya setelah Barisan Nasional mengekalkan kerusi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, pada Julai tahun lalu.

    

- Bernama