Suasana di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani hari ini kecoh seketika apabila sebuah pantri yang terletak di tingkat dua bangunan berkenaan terbakar.
Ketua Operasi dari Balai Bomba Penyelamat Jalan Perak Goh Thean Lai berkata 16 anggota bersama tiga jentera digegaskan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada pukul 4.49 petang.
"Kita dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan tiada kecederaan serius dilaporkan," katanya kepada pemberita.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut
kerosakan yang dialami susulan insiden itu.
"Keadaan terkawal dan kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas," katanya ringkas.
- Bernama
