PAC: Harga barang apa lagi akan naik?
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed menegur kerajaan persekutuan kerana bertindak tidak telus dalam menjelaskan kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat.
Bercakap dalam satu forum anjuran akhbar Sinar Harian semalam, MP Pulai itu berkata kerajaan perlu membuat penerangan kepada masyarakat sebelum kenaikan harga berlaku untuk mengelakkan kejutan.
"Kerajaan kena telus, beritahu rakyat dalam dua tiga tahun ini apa lagi barang akan naik, kenapa perlu dikurangkan subsidi itu dengan jelas.
"Beri nasihat pada rakyat apa yang boleh dilakukan untuk kurangkan bebanan hidup. Jadi rakyat dapat sesuaikan keadaan," katanya seperti dipetik dalam laporan akhbar Sinar Harian.
Bercakap dalam program forum yang turut disertai pengarah strategi PKR Rafizi Ramli itu, Nur Jazlan turut mempertahankan dasar penswastaaan negara.
Beliau menolak tanggapan Rafizi bahawa dasar berkenaan menjadi punca kenaikan harga barang pada hari ini.
"Soal penswastaan ini berdasarkan keadaan ada pada ketika itu. Ketika kerajaan mahu mencari jalan luar untuk selesai masalah.
"Ini cerita macam bapak dengan anaklah, kita jangan marah bapak kenapa kita dilahirkan begini hari ini," katanya.
Namun, beliau tetap kecewa dengan kerajaan dan bimbang akan kehilangan undi dari warga kawasannya dalam pilihan raya umum akan datang.
Katanya, beliau berharap agar masyarakat memahami tujuan kerajaan bahawa perubahan dan kenaikan harga itu akan membawa kebaikan demi membawa Malaysia
"Kerajaan kini tidak fahami hati orang bandar, saya sendiri sedikit hampa. Saya juga mewakili orang bandar (Pulai) akhirnya saya juga akan terima akibatnya masa pilihan raya nanti.
Sungguhpun begitu, beliau tetap menyeru agar masyarakat memahami perubahan yang dilakukan kerajaan kerana ia antara usaha untuk membawa Malaysia menuju negara maju.
"Tolong jangan 'bunuh' saya. Bagaimanapun perubahan (kerajaan) itu (ke arah kebaikan) berlaku secara berperingkat-peringkat," katanya.

