Perjuangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) adalah seiring dengan gagasan IMalaysia dan berpegang kepada prinsip yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, kata Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali.

    

Menafikan dakwaan DAP kononnya penyaluran dana kepada pertubuhan itu melemahkan kempen 1Malaysia, beliau berkata Perkasa tiada masalah jika dana bagi program dan aktiviti pertubuhan itu ditamatkan.

    

"PERKASA akan tetap bergerak ke depan dengan apa yang ada. Kekangan kewangan tidak akan menghalang suara PERKASA daripada terus lantang pertahankan kepentingan Melayu, Bumiputera dan Islam," katanya kepada Bernama.

    

Menyelar bahawa pemimpin DAP merupakan punca segala kecelaruan yang meruncing dalam negara sekarang, beliau berkata: "Jika mereka tidak sentuh kepentingan Melayu dan Bumiputera dan tidak menyokong pihak yang mengamalkan liberalisme... Perkasa tidaklah perlu ditubuhkan sama sekali."

    

"Apakah PERKASA selama ini mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera dikatakan mensabotaj 1Malaysia yang Perdana Menteri maksudkan dan apakah PERKASA selama ini mempertahankan kepentingan Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara mensabatotaj konsep 1Malaysia Perdana Menteri?" soal beliau.

    

Syed Hassan berkata PERKASA sedar ada pihak tidak berpuas hati selagi pertubuhan itu tidak dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan kerana khuatir PERKASA akan menjadi penghalang kepada cita-cita pihak terbabit.

    

-Bernama