Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata tindakan menukar kerajaan bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan masyarakat hari ini.

Nur Jazlan berkata demikian bagi mengulas tindakan yang ditunjukkan kelompok masyarakat yang menurutnya cepat melatah dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau dipercayai merujuk kepada bantahan ke atas kenaikan kos sara hidup melalui perhimpunan besar, seperti yang berlaku pada ambang sambutan tahun baru, 31 Disember lalu.

Bercakap dalam satu forum anjuran akhbar Sinar Harian semalam, MP Pulai berkata peningkatan harga tetap berlaku walau dengan kawalan kerajaan, disebabkan faktor seperti harga pasaran dunia dan bekalan bahan import.

"Banyak barang yang digunakan rakyat Malaysia diimport dari luar, pada 1990-an negara yang eksport barang ke negara kita seperti India, China belum maju.

"Setelah negara Asia Tenggara membuka pasaran, harga barang tidak dapat dikawal kerana perlu mengikut pasaran dunia.

Beliau memberi contoh, kenaikan harga yang berlaku ke atas bahan seperti daging, minyak dan juga kereta yang terpaksa diimport.

“...Kenaikan harga elektrik berlaku sebab kita terpaksa import gas dari luar bagi tujuan jana kuasa," katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian .

Beliau turut mengulas kenyataan seorang lagi ahli panel, pengarah strategi PKR Rafizi Ramli, yang mempersoalkan fungsi Petronas untuk menampung bekalan bahan api negara.

Nur Jazlan berkata Petronas masih perlu menyimpan bekalannya untuk keuntungan bagi generasi akan datang, dan tidak menggunakan kesemua sumbernya.

Oleh itu, Petronas mendapat lebih keuntungan apabila menjual bekalan gas ke luar negara dan membeli gas dari luar untuk kegunaan tempatan.

"Jika Petronas melaburkan semua sumbernya ke dalam negara sahaja, generasi sekarang sedaplah, tetapi untuk generasi akan datang bagaimana?

"Kenapa tidak Petronas jual gas kepada orang lain jika mereka boleh raih untung lebih banyak di luar? Maka, kerajaan mencari alternatif membeli gas dari luar bagi menampung bekalan semasa," katanya.

Beliau turut menjawab pertanyaan oleh moderator forum, Dr Maszlee Malik, yang meminta beliau menjelaskan sebab kenaikan harga barangan itu diperkenal selepas pilihan raya umum.

Mengulas perkara itu, Nur Jazlan dalam laporan tersebut mengakui bahawa tindakan berkenaan kini “memakan diri” namun tegasnya kenaikan harga tersebut tidak dapat dielakkan.

"Kerajaan tidak dapat elak, namun sudah beberapa kali dimaklumkan pelarasan subsidi dilakukan berperingkat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Hasil pelarasan subsidi itu akan diagihkan kepada pihak yang memerlukan," katanya.