Ibu bapa buka semula sekolah Tamil Seaport
Ibu bapa yang berjuang untuk mengekalkan sekolah rendah Tamil Seaport di tapak asalnya di Kelana Jaya, akan memulakan kelas mereka sendiri selepas Jabatan Pendidikan Selangor enggan menyediakan guru untuk mengajar di bangunan lama itu.
Pengumuman itu dibuat selepas satu protes berlangsung di luar sekolah petang ini ekoran Timbalan Menteri Pelajaran P Kamalanathan bertegas mereka berpindah ke bangunan baru di Kampung Lindungan, kira-kira 9km dari situ.
Ini walaupun kerajaan Selangor - yang memiliki tanah tersebut melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS ) - telah menyatakan bersedia untuk mewartakannya sebagai tapak sekolah Tamil berkenaan.
"Kita ada buku teks, kita ada jadual, jika Kementerian Pelajaran enggan membantu kita, kita akan mulakan tanpa mereka, dengan bantuan rakyat," kata Setiausaha Persatuan Kebajikan Malaysian Tamilan Today, K Gunasekaran (kanan).
Gunasekaran - yang merupakan bekas guru - berkata beliau dan guru-guru sukarelawan lain boleh mengajar di kelas seperti biasa yang akan bermula pada 15 Februari selepas sambutan Ponggal, iatu tahun baru Tamil.
Menurutnya, 24 pelajar yang menghadiri kelas di bawah sebuah khemah, tidak lagi perlu berbuat demikian dan akan memasuki ke dalam premis sekolah walaupun ia ditutup.
"Ini adalah tanah milik PKNS dan kerajaan Selangor telah berkata okay dengan sekolah itu, jadi saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh menggunakannya," katanya.

