Kes saman Umno-Mustafa Ali selesai
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan dua lagi hari ini terlepas daripada tuntutan saman oleh Umno apabila kes tersebut telah diselesaikan melalui proses mediasi.
Menurut peguam Umno Raihanah Ashriqin Ariffin, persetujuan dicapai dalam mediasi di hadapan hakim Zainal L Salleh pada 13 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Pada ketika itu, persetujuan telah kita capai untuk gugurkan kes, Datuk Mustafa pada ketika itu mendakwa tidak merujuk kepada Umno berhubung penyebaran video lucah tersebut," katanya selesai keputusan mediasi dibacakan di hadapan hakim Datuk John Louis O'hara.
Umno telah mengemukakan saman ke atas Mustafa pada 23 April tahun lalu, ekoran kenyataan yang diterbitkan dalam laman berita portal The Malaysian Insider dan Harakahdaily pada 12 dan 13 April tahun yang sama.
Bagaimanapun, Raihanah Ashriqin juga menjelaskan dalam persetujuan itu Mustafa dan defendan kedua, Asmuni Awi dikehendaki menarik balik kenyataan yang melibatkan parti kerajaan tersebut.
Manakala, defenden ketiga iaitu Ketua Pengarang portal Harakahdaily pada masa itu, Zulkifli Sulong yang diwakili peguam beliau, Zulhazmi Shariff pula mesti menyiarkan kenyataan penyesalan Mustafa ali dan Asmuni laman portal tersebut.
Dalam persetujuan yang sama juga, Zulkifli perlu menarik balik dengan serta merta kenyataan asal berhubung isu video lucah yang telah disiarkan di Harakahdaily sebelum ini.

