Ling dakwa pejabat AG pandang rendah pemimpin Cina
Selepas dibebaskan daripada tuduhan menipu kabinet berhubung Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) Oktober tahun lepas, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Ling Liong Sik, akhirnya memecah kebisuannya dengan menuduh Pejabat Peguam Negara (AGC) memandang rendah terhadap pemimpin Cina negara ini.
Ling dipetik dalam laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini sebagai mendakwa AGC memandang rendah dan tidak menghormati pemimpin Cina yang telah menyumbang kepada negara.
Ling mengulangi bahawa perbicaraan itu adalah "salah pendakwaan" dan beliau telah hilang keyakinan terhadap sistem kehakiman negara ini.
"Orang yang tidak melakukan apa-apa yang salah juga akan didakwa, negara jenis apa ni?"
"Mungkin kita mempunyai undang-undang yang baik tetapi pada masa yang sama kita juga mempunyai orang yang tidak baik," Ling dilaporkan berkata.
Ling (kiri sekali) berkata beliau terkejut apabila dia didakwa kerana AGC hanya mula mengumpul bukti selepas mengheretnya ke mahkamah, dan bukan sebaliknya.
Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak ditipu, begitu juga dengan menteri kabinet lain yang memberi keterangan.
"Seorang pegawai polis berkata saya tidak akan didakwa jika polis mengambil kenyataan Dr Mahathir terlebih dahulu," katanya.
Menurut Ling, apabila Dr Mahathir berkata beliau tidak ditipu, mereka sepatutnya gugurkan kes itu, tetapi mereka tidak berbuat demikian.
Ling berkata beliau telah memahami mengapa beliau didakwa dan akan menulis buku untuk menceritakan versinya dan episod perbicaraannya.

