2 pemain skuasy negara tersingkir dari TOC
Kempen Malaysia dalam kategori lelaki pada Tournament of Champions (ToC) 2014 berakhir selepas dua pemain kebangsaan negara tersingkir pada perlawanan yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat awal hari ini.
Bagaimanapun, selaku pemain berpengalaman, Ong Beng Hee memberi tentangan sengit sebelum tewas 7-11, 11-6, 7-11 dan 5-11 kepada pemain Afrika Selatan Steve Coppinger dalam perlawanan yang memakan masa 63 minit di Grand Central Terminal, demikian menurut laman sesawang kejohanan, www.squashsite.co.uk .
Coppinger dijangka berdepan laluan sukar pada pusingan kedua apabila menentang juara bertahan dan pemain nombor satu dunia Nick Matthew dari England, yang menewaskan rakan senegara, Adrian Grant 11-4, 11-5 dan 11-4.
Mohd Nafiizwan Adnan, yang sebelum ini berjaya melepasi pusingan kelayakan, bagaimanapun tewas 2-11, 6-11 dan 2-11 kepada Cameron Pilley dari Australia dalam tempoh 32 minit.
Pilley akan berdepan seorang lagi pemain England, James Willstrop, pada pusingan berikutnya selepas pemain nombor lima dunia itu menewaskan Nicolas Mueller dari Switzerland 7-11, 11-1, 12-10 dan 11-5.
Bagi kategori wanita yang bermula Selasa ini, dua pemain kebangsaan iaitu Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern akan berdepan halangan berbeza.
Nicol, pemain nombor satu dunia, akan menentang pemain yang layak ke pusingan pertama manakala Wee Wern berdepan pemain tuan rumah, Latasha Khan.
- Bernama

