Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan 'KL's Night Ride' sebagai inisiatif baharu bagi menggalakkan warga kota berbasikal pada waktu malam.

Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib berkata inisiatif itu, antara lain, bertujuan memberi pilihan kepada warga kota memenuhi waktu malam dengan aktiviti sihat dan berfaedah berbanding melepak.

Beliau berkata aktiviti itu juga memberi peluang kepada penunggang basikal menikmati keindahan bandar raya ini.

"Sekiranya kita dapat mempromosi aktiviti sebegini, saya yakin ia akan jadi satu trend di KL, selain itu kita dapat meningkatkan kesedaran orang ramai bagi membolehkan kita menjadikan basikal sebagai kenderaan pilihan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu malam tadi.

KL's Night Ride, yang dilancar bersempena OCBC Cycle Malaysia 2014, merupakan program susulan 'Kuala Lumpur By Cycle' yang dilancar pada Februari tahun lepas, dan sebagai usaha menyokong 'Hari Tanpa Kenderaan Sedunia'.

Sebagai pengenalan, laluan Kl's Night Ride ialah 'KL Heritage & Nature Night Cycle Route' bermula dan berakhir di Dataran Merdeka serta melalui, antaranya Jalan Raja, Jalan Sultan Salahuddin, Lebuhraya Mahameru, Jalan Parlimen menghala ke Taman Warisan Tun Abdul Razak, Jalan Cenderawasih dan Jalan Tanglin.

Terdahulu, Ahmad Phesal dan bekas pelumba dari Australia Robbie McEwen, yang juga pemenang jersi hijau tiga kali berturut-turut Jelajah Perancis, turut mengayuh basikal sejauh 5.4 kilometer selama 45 minit di laluan terbabit sebagai simbolik pelancaran program itu.

Sejumlah 300 peserta mengambil bahagian dalam acara kayuhan itu.

Ahmad Phesal juga berkata pihaknya berhasrat menjadikan ibu kota ini sebagai sebuah bandar selamat untuk berbasikal.

Beliau berkata untuk tujuan itu, pihaknya sedang merancang beberapa pendekatan terbaik, termasuk menyediakan laluan yang selamat dan memupuk kesedaran orang ramai terhadap manfaat aktiviti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Phesal memaklumkan padang di Dataran Merdeka akan ditutup buat sementara waktu selama empat bulan bagi kerja membaik pulih.

- Bernama