ADUN: Selesai segera isu tahan pasangan M'sia
PKR kesal penahanan Pengarah Tourism Malaysia Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya di Sweden yang dilapor memukul anak mereka yang berusia 12 tahun kerana tidak mendirikan solat.
Dalam kenyataannya, ADUN Seri Setia Nik Nazmi Ahmad menyifatkan isu berkenaan timbul ekoran ketidakfahaman antara budaya sekaligus berharap ia diselesaikan segera untuk kepentingan semua pihak.
"Sememangnya kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara namun pada masa yang sama negara tuan rumah sewajarnya sensitif terhadap pelaksanaan undang-undang dan tidak mengambil tindakan yang keterlaluan," katanya.
Nik Nazmi yang juga timbalan speaker DUN Selangor berkata pihaknya turut menghargai usaha semua pihak mendapatkan kebenaran untuk saudara mara pasangan itu bertemu anak mereka itu, yang kini dalam jagaan keluarga bukan Islam.
"Anak-anak mereka telahpun meluahkan hasrat untuk dijaga oleh keluarga Islam di dalam pertemuan mereka dengan Kedutaan Malaysia dan Perkhidmatan Sosial Sweden.
"Keluarga jagaan mereka turut menyokong hasrat ini. Saya menghargai usaha semua pihak di dalam mendapatkan kebenaran untuk saudara-mara pasangan tersebut bertemu anak-anak mereka," katanya.
Dijaga bukan Islam
Dilaporkan pasangan itu telah ditahan lebih sebulan sementara keempat-empat anak mereka dipindahkan ke rumah jagaan keluarga bukan Islam.
Sementara itu, Bernama melaporkan anak sulung pasangan Azizul dan Shalwati Norshal, Aisyah menyuarakan keinginan mahu dijaga oleh keluarga Melayu Islam sewaktu berjumpa dengan wakil Kedutaan Malaysia dan Khidmat Sosial Sweden pada Jumaat.
"Kami tidak mempunyai masalah dengan keluarg angkat sekarang, mereka jaga kami tapi kami tidak selesa bila perlu tinggal dengan keluarga berlainan agama.
"Susah untuk kami membiasakan diri. Jadi Aisyah rasa lagi senang dan selesa untuk mai bersama keluarga Melayu beragama Islam," katanya.
Manakala, Timbalan Menteri Luar Hamzah Zainuddin dilapor berkata empat keluarga Islam rakyat Malaysia yang menetap di Sweden, telah menyatakan persetujuan untuk menjaga anak pasangan itu.
Menurutnya lagi, permohonan pertukaran penjagaan dan perbincangan dengan pihak khidmat sosial negara itu telah dibuat tetapi prosedur dan undang-undang hak asasi di negara itu perlu dipatuhi, lapor Mingguan Malaysia hari ini.

