Pihak yang mendakwa tersinggung' dengan peristiwatertentu dalam negara berbuat demikian kerana terdapat nilai dan manfaat politik di sebalik sikap itu, kata aktivis sosial dan pengasas NGO Sisters in Islam, Zainah Anwar petang ini.

"Terdapat nilai dan juga manfaat politik apabila anda mendakwa yang anda tersinggung.

"Anda boleh jumpa menteri dalam negeri (umpamanya) dan kerajaan akan mengambil sikap anda sebagai pendirian (rasmi) mereka," katanya pada forum di Kuala Lumpur petang ini.

Tanpa menghuraikan dengan terperinci pihak tersebut atau pun peristiwa yang dimaksudkan, Zainah berkata sikap demikian tidak membantu dalam membina semangat 1Malaysia kerana ia memburukkan pihak-pihak lain.

Tambahnya, ahli politik juga memburukkan lagi keadaan apabila dilihat mengiktiraf kumpulan-kumpulan berkenaan yang juga turut mengambil pendirian bersifat perkauman dalam sikap mereka.

"Perkara yang menjadikannya lebih sukar adalah apabila mereka yang bermain kad perkauman ini, diabsahkan oleh pemimpin politik nasional," katanya lagi.

Menurut Zainah, kini pengarah sebuah NGO dikenali Sekretariat Musawah, senario kurang sihat itu boleh dicegah melalui penglibatan sivik pelbagai pihak.

1M'sia dalam BERSIH

Beliau memberikan contoh penglibatannya dalam dua perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil anjuran BERSIH sebelum ini sebagai manifestasi kepada semangat 1Malaysia yang sebenar.

"Di situlah saya melihat semangat 1Malaysia saya itu hadir - apabila lelaki dan perempuan, kelas pekerja dan kelas profesional bersama-sama," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum sempena pelancaran buku No Country for Righteous Men and Other Essays in a Culture of Offendedness (Tiada Tempat untuk Orang yang Selalu Betul dan Esei-esei Lain dalam Budaya Mudah Tersinggung) tulisan Komander (B) S Thayaparan, petang tadi.

Turut bercakap pada forum yang sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider , Jahabar Sadiq, peguam dan bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan pensyarah undang-undang dan kolumnis akhbar, Dr Azmi Sharom.

Kenyataan Zainah petang tadi dibuat ketika media Malaysia dan orang ramai hangat membincangkan satira 'kangkung' dan isu kalimah 'Allah'.

Hujung minggu lalu, sekumpulan penyokong Umno Pulau Pinang dan kumpulan pendesak Melayu, PERKASA Pulau Pinang mendakwa jenaka keterlaluan terhadap penggunaan contoh sayur kangkung dalam ucapan perdana menteri penghinaan terhadap orang Melayu dan boleh mengundang berulangnya tragedi 13 Mei 1969.

Pada masa sama, ketegasan pimpinan Katolik Malaysia untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka juga didakwa oleh parti politik dan NGO tertentu sebagai satu bentuk penghinaan dan cabaran kepada agama Islam.