Polis Sabah telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran gambar di laman sosial kononnya imej suspek dalam insiden menembak dan merosakkan 46 premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada malam 10 dan 11 Jan lalu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

    

Beliau berkata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu diarah untuk membuat laporan bagi menyiasat kes ini dan dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sabah.

    

Polis akan menyiasat pihak yang memuat naik gambar berkenaan dan sehingga kini belum ada sebarang tangkapan berhubung kes itu, katanya kepada pemberita di majlis pelancaran buku 'Amalan Menyambut Kelahiran Menyusuri Sunah Nabi Akhir Zaman' di Dewan Pulapol di Kota Kinabalu hari ini.

    

Katanya buku itu yang pertama diterbitkan Persatuan Keluarga Polis (Perkep)dan Bahagian Agama & Kaunseling Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah. Buat permulaan, 3,000 naskhah dicetak dan diedar kepada setiap ketua jabatan serta ketua polis daerah untuk dijual pada harga RM10.

    

Hamza berkata buku yang mengandungi 26 muka surat itu disiapkan dalam tempoh enam bulan dan amat sesuai dijadikan panduan kepada anggota polis untuk mengamalkan ajaran Islam ketika menyambut kelahiran bayi.

    

Di majlis yang sama, beliau menyampaikan 200 jaket keselamatan kepada setiap pengerusi Perkep untuk diagihkan kepada pelajar sekolah di lima buah daerah yang menggunakan pengangkutan air ke sekolah iaitu Keningau, Sandakan, Semporna, Tuaran dan Ranau.

- Bernama