Pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura telah mengambil tindakan segera menghubungi Nurul Ruhana Ishak, wanita Malaysia yang ditahan kerana merempuh sekatan keselamatan di Kementerian Luar (MFA) Singapura.    

    

Kenyataan Kementerian Luar Malaysia berkata hari ini hubungan itu bertujuan memberi segala bantuan konsular yang perlu demi menentukan hak dan kebajikan dirinya dilindungi.   

"Wisma Putra telah meminta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura untuk terus memantau keadaan," kata kenyataan itu.  

    

Pada 20 Jan, Nurul Ruhana, 28 dari Pendang, Kedah ditahan di Balai Polis Tanglin kerana merempuh sekatan keselamatan di Kementerian Luar republik itu.  

- Bernama