'Barangan pengguna jadi mahal dengan kenaikan tol'
Persekutuan Pekilang Malaysia ( FMM) memberi amaran bahawa kenaikan kadar tol akan meningkatkan harga barangan pengguna.
Dalam satu akhbar hari ini, FMM berkata satu tinjauan di kalangan ahlinya mendedahkan bahawa bayaran tol yang lebih tinggi akan menyebabkan peningkatan dalam harga bahan mentah.
Ini kemudiannya akan meningkatkan kos operasi bagi pengeluar, yang akan diturunkan kepada pengguna.
"Memandangkan kenaikan kadar elektrik baru-baru ini, kenaikan kadar tol yang dicadangkan, pasti akan memberikan tekanan kepada inflasi dan FMM meramalkan bahawa kenaikan ini akan melembapkan penggunaan domestik dan menjejaskan daya saing eksport.
"FMM menggesa syarikat-syarikat konsesi tol supaya mengkaji semula keputusan mereka untuk menaikkan kadar tol dan kerajaan campurtangan bagi mengelak sebarang kenaikan kos menjalankan perniagaan di Malaysia," kata FMM.
FMM tidak menyatakan bilangan responden yang terlibat, tetapi berkata 68 peratus daripada ahlinya adalah SME yang beroperasi di Lembah Klang.
Menurutnya, semua responden bersetuju bahawa pembekal pengangkutan akan meningkatkan kadar bayaran sekiranya kadar tol dinaikkan, ditambah pula dengan kenaikan dalam tuntutan perjalanan kakitangan pemasaran mereka.
Empat puluh enam peratus daripada responden percaya harga pengangkutan akan meningkat sebanyak 2 hingga 10 peratus, manakala 18 peratus responden berkata 11 hingga 20 peratus dan 15 peratus responden lagi berkata 25 hingga 30 peratus.
Tiada alternatif
Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) adalah laluan yang paling kerap digunakan oleh responden, diikuti Guthrie Corridor Expressway, Kajang Dispersal Link Expressway (Silk), Sungai Besi Expressway (Besraya) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint).
"Sebanyak 64 peratus responden memaklumkan bahawa mereka atau pengangkutan mereka tidak mempunyai laluan alternatif untuk menghantar barangan ke destinasinya," katanya lagi.
Bayaran tol lebuhraya sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari, tetapi belum ada apa-apa lagi setakat ini.
Pengendali jalan bertol umumnya mempunyai perjanjian dengan kerajaan persekutuan yang membenarkan mereka menaikkan kadar tol secara berkala.
Sekiranya Putrajaya menghalang mereka daripada menaikkan kadar tol, maka pampasan - sama ada melalui subsidi atau pelanjutan tempoh konsesi - akan diaturkan.

