Khalid: Jelaskan sumber 'peletakan jawatan' saya
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa akhbar Sin Chew Daily menjelaskan sumber laporan salah bahawa beliau telah meletak jawatan menteri besar Selangor.
Abdul Khalid berkata beliau tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berbahasa Cina itu, tetapi berkata sekurang-kurangnya ia tampil menjelaskan perkara itu.
Bercakap kepada pemberita selepas mengedarkan limau Mandarin di sebuah pasar di Bandar Tun Razak pagi ini, Abdul Khalid berkata walaupun akhbar tersebut telah memohon maaf tetapi katanya beliau mahukan lebih penjelasan.
Khamis lalu, Sin Chew Daily telah mengeluarkan SMS berita mendakwa Abdul Khalid telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar, tetapi akhbar itu kemudian meminta maaf atas laporan salah tersebut.
Abdul Khalid berkata, pada hari khabar angin itu disebarkan, beliau dan semua exco serta kepimpinan tertinggi kerajaan negeri sedang menghadiri satu mesyuarat di di Pulau Carey, Selangor. [Baca berita penuh]
Akhbar itu mendakwa kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah membuat keputusan melantik Timbalan Presiden Azmin Ali, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, untuk menggantikan beliau sebagai Menteri Besar.
Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Khalid berkata akhbar itu diminta memberi penjelasan berkenaan berita itu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.
"Spekulasi itu sangat tidak baik dan kita kita minta penjelasan daripada Sin Chew bagaimanapun cerita itu boleh timbul kerana ia akan menyusahkan dan mengelirukan rakyat," katanya.
"Jika cerita itu benar tak apa tapi kalau tak benar tidak elok," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Mohammed Khusrin Munawi diberi tempoh dua minggu untuk membuat siasatan terhadap Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif Kerja perbadanan itu Norita Mohd Sidek.
Kedua-dua pegawai kanan PKNS itu telah ditukarkan ke pejabat SUK sejak Isnin lepas untuk disiasat berhubung kes penamatan perkhidmatan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

