T-Team & Sime Darby lakar kejutan besar
Pasukan berstatus kelab, T-Team melakarkan kejutan besar dalam saingan Liga Super apabila mengejutkan pasukan 'Dream Team', Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Penyerang berbisa Indonesia, Patrich Wanggai, yang baru mewakili T-Team dari Terengganu musim ini, mencalar reputasi pasukan lawan berstatus bintang itu dengan jaringan tunggal pada minit ke-71.
Selain T-team, satu lagi wakil kelab, Sime Darby FC dari Lembah Klang, turut mencipta kejutan apabila mengalahkan juara Piala Sumbangsih, Pahang 1-0, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Sime Darby mengumpul mata penuh pertama hasil sentuhan penyudah Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-50.
Di Stadium Negeri Kuching, pasukan Kelantan mengungguli persada liga apabila mencatatkan kemenangan kedua selepas mengalahkan Sarawak 1-0.
Penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe berjaya meledak gol kemenangan untuk skuad 'The Red Warriors' pada minit ke-90 untuk memastikan skuad kendalian Steve Darby itu mengumpul enam mata dalam dua perlawanan.
Juara liga musim lepas, Lions XII dari Singapura pula mengubat kekecewaan pada Piala Sumbangsih, Jumaat lepas, dengan menumpaskan Selangor 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Khairul Amri muncul wira pasukan Singapura itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Skuad kendalian Fandi Ahmad itu membuka tirai jaringan pada minit ke-44 menerusi Shakir Hamzah sebelum Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Fitri Shazwan Raduwan.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah, Perak turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Terengganu 1-0, hasil tandukan pemain import dari Brazil, Eliel Da Cruz Guardiano pada minit ke-90.
- Bernama

