'JAIS diminta serah laporan rampas bible selepas CNY'
Kerajaan negeri Selangor mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiapkan laporan rampasan kitab Bible Persatuan Bible Malaysia seminggu selepas sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 31 Januari ini.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa JAIS menghantar kajian terperinci dan segera kerana isu melibatkan sensitiviti kaum dan agama ini tidak disalah erti rakyat, lapor Sinar Harian hari ini.
Khalid juga berkata kerajaan negeri mahu jawapan bertulis daripada Kementerian dalam Negeri (KDN) bagi menentukan sama ada kitab dirampas itu memenubi Resolusi 10 Perkara ditetapkan.
"Mereka bersetuju dengan cara-cara Bible digunakan tetapi tertakluk kepada negeri masing-masing.
"Saya ingin tunggu jawapan bertulis kerana Bible di sita ini dimport dan dibawa masuk ke Pelabuhan Klang di mana kerajaan negeri tiada kuasa jagaan. Itu yang saya nak tanya," katanya seperti dalam laporan harian itu.
Sementara itu, Berita Harian hari ini melaporkan Khalid menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang melakukan sebarang pindaan terhadap Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 seperti desakan tiga wakil rakyat DAP Selangor.
Dalam laporan itu juga, Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menyifatkan desakan meminda enakmen tersebut merupakan "sesuatu yang serius".
Bagaimanapun Khalid memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman mengenai enakmen.
"Buat masa ini, kerajaan negeri belum terlintas (meminda enakmen). Kita sudah mula adakan perbincangan untuk (pihak terbabit) memahami enakmen berkenaan, tetapi belum menuju kepada penukaran enakmen.
"Tiada tujuan atau langkah untuk mengubahnya," katanya seperti dilaporkan dalam Berita Harian .

