Razali: Dalam rasuah tiada ikan bilis, ikan jerung
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menyifatkan tiada istilah ikan jerung atau ikan bilis dalam peperangan melawan rasuah.
Beliau berkata usaha kerajaan melakukan kerja yang baik perlu disokong dan tidak hanya mengkritik dan bercerita keburukan keadaan semasa.
"Sebagai contoh seorang ini ambil rasuah sejuta ringgit untuk bagi kontrak dan seorang lagi ambil RM500 benarkan orang bawak senjata lepasi sempadan negara. Mana satu ikan jerung?
"Semua jenis rasuah adalah satu kesalahan," kata beliau dalam majlis pelancaran pelan integriti Felda Global Ventures (FGV) di Balai Felda di ibu negara hari ini.
'Siapa nampak polis rasuah depan mata?'
Sementara itu, Razali yang juga ahli Parlimen Muar turut mengucapkan tahniah kepada FGV kerana menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kedua kerajaan selepas Petronas menandatangani pelan integriti.
Beliau berkata usaha integriti patut menjadi tanggungjawab semua rakyat tanpa perlu menunggu perjanjian formal dengan kerajaan.
Sepatutnya rakyat Malaysia tumpukan masa, tenaga serta wang untuk tingkatkan integriti bukan kepada hiburan semata, komen beliau.
Beliau turut berkata Malaysia bukanlah negara yang “kotor” cuma kerana segelintir rakyat gemar bercakap hal-hal yang memburukkan negara.
"Persepsi bukan bermakna jadi atau mengaku rasuah.
“Di sini siapa di sini ada pengalaman nampak polis rasuah depan mata?" tanya beliau dipersetujui oleh para hadirin yang rata-rata dari Felda, FGV dan Institut Integriti Malaysia," kata beliau.

