Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Sebuah demonstrasi bagi membantah apa yang digelar sebagai “penghinaan kaum Cina” terhadap agama Islam, raja dan kepimpinan Melayu di Petaling Jaya ditangguhkan pagi ini.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka “Kesatuan Warisan Pahlawan Melayu (KWPM)” hari ini menjelaskan, langkah itu diambil bagi menghormati saranan perdana menteri supaya tiada provokasi mencetuskan ketegangan dibuat.

Timbalan Pengerusi KWPM Rahim Md Harun memaklumkan, pertubuhan itu juga menghormati saranan polis supaya perhimpunan yang dirancang di Kampung Medan itu tidak diadakan.

Beliau juga melihat, terdapat pihak cuba menggagalkan rancangan mereka dengan menggelar perhimpunan itu sebagai “demonstrasi parang terbang”, seperti disebarkan kepada awam.

"Ada pihak tertentu yang cuba menggagalkan demo hari ini sehingga timbul nama demo parang terbang.

"Sebab (nama) itu saya sendiri dikunjungi SB (Cawangan Khas) dan pegawai polis kerana khabar angin ada kejadian yang tidak diingini akan berlaku di Kampung Medan.

"Justeru itu, saya tidak mahu mengeruhkan suasana menerima saranan perdana menteri dan pihak berkuasa dengan tidak mengadakan demonstrasi hari ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tarikh baru perhimpunan akan diumumkan kemudian.

Rahim menjelaskan, antara isu yang akan dibangkitkan dalam perhimpunan itu, isu seorang guru sekolah Cina yang didakwa mendenda muridnya menjadi lembu, isu larangan bertudung kepada wanita Islam dan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.