Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa penceroboh yang tinggal di Kampung Tanduo, Lahad Datu akan dilayan dengan baik sekiranya mereka keluar dari kawasan itu tanpa membawa senjata api.

    

DSP Abdul Rani Alias, komando VAT69 yang mengetuai kawasan Sektor D, berkata sekiranya penceroboh membawa bersama risalah yang digugurkan dari udara menggunakan helikopter oleh pihak berkuasa Malaysia yang meminta mereka keluar tanpa membawa senjata, ia adalah alasan baik kepada pasukannya untuk tidak menembak mereka.

    

"Saya setuju kalau mereka (penceroboh) membawa kertas itu tetapi kalau dia membawa senjata, itu cerita lain," katanya ketika menjawab cadangan yang dikemukakan peguam Datuk N Sivananthan semasa pemeriksaan balas.

Abdul Rani juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sesiapa yang membaca risalah itu, ia menyatakan penceroboh diminta supaya tidak membawa senjata dan bukannya menyatakan penceroboh tidak boleh keluar dengan berpakaian celoreng.

    

Beliau turut bersetuju dengan Sivananthan bahawa risalah itu menyatakan maklumat yang jelas bahawa penceroboh akan dilayan dengan baik jika tidak

membawa senjata.

Sivananthan : Adakah anda setuju dengan saya berdasarkan apa yang tertera di dalam risalah itu, sesiapa yang membawa dokumen itu akan diberikan laluan selamat untuk keluar?

    

Abdul Rani : Ya, saya setuju.

    

Risalah bersaiz kertas A4 itu yang ditulis dalam bahasa Suluk telah digugurkan dari udara pada 9 pagi, pada 25 Februari tahun lepas.

    

Risalah itu diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah, yang antara lain menyatakan : "Laluan untuk keluar. Apa yang anda lakukan adalah membuang masa sahaja. Ia akan membawa kesukaran kepada anda dan keluarga anda. Sembunyikan dan tanamkan senjata api anda. Bila keluar, bawa bersama surat ini."

Risalah kedua pula digugurkan pada 2.45 petang 27 Februari yang diterjemahkan dari bahasa Suluk kepada bahasa Inggeris, yang menyatakan: "Ini

amaran terakhir. Saya tidak beri banyak masa lagi. Serah diri sebelum menyesal dengan apa yang berlaku terhadap anda, jika tidak menyerah diri sekarang. Ini amaran terakhir, ingatkan keluarga anda dan sanak saudara anda di kampung halaman."

    

Terdahulu, ketika diasak berkali-kali oleh Sivananthan sama ada beliau mengetahui keputusan pihak berkuasa yang menguggurkan dua risalah itu kepada penceroboh, Abdul Rani menegaskan beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

    

Pegawai kanan VAT69 itu menjelaskan tidak semua maklumat dimaklumkankepadanya dan setiap pegawai mempunyai had untuk dibekalkan dengan apa-apa maklumat mengenai operasi di Kampung Tanduo itu.

    

Menjawab soalan lain, Abdul Rani berkata pasukannya tidak diberi kebebasan untuk menembak mati penceroboh di Kampung Tanduo dan pasukannya juga tidak menerima sebarang arahan daripada komander VAT69 bahawa mereka diberikan kebebasan untuk menembak mati penceroboh.

    

Saksi itu berkata pasukannya juga tidak menerima arahan untuk menangkap penceroboh semasa ditugaskan membuat tinjauan rapat di Kampung Tanduo dari 28 Februari 2013 hingga 1 Mac 2013.

    

Saksi kelima itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa terdapat arahan diberikan kepada pasukannya supaya memulakan serangan terhadap penceroboh itu.

    

Kepada soalan lain, Abdul Rani berkata Komander VAT69  Datuk Abdul Rashid Harun memberi arahan supaya pasukannya membuat serbuan di rumah yang didiami penceroboh di Tanjung Batu pada 6 Mac tahun lepas, bertujuan menghalau mereka ke kawasan lain.

    

Abdul Rani bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa arahan Abdul Rashid adalah supaya tidak melepaskan tembakan dan menangkap penceroboh itu, tetapi sekiranya musuh menembak, pasukannya akan membalas tembakan.

    

Sivananthan: Adakah anda bertanya kepada Datuk Abdul Rashid mengapa anda diarahkan untuk menghalau mereka (penceroboh) ke kawasan lain dan bukannya menangkap mereka?

    

Abdul Rani : Saya tidak tanya.

    

Saksi itu juga menyatakan beliau diberitahu bahawa berlaku kejadian tembak menembak antara penceroboh dan anggota tentera di rumah itu pada tarikh berkenaan.

    

Abdul Rani juga berkata pada 20 Mac tahun lepas, beliau telah menerima maklumat daripada anggota polis bahawa lapan mayat yang dibungkus dengan plastik mayat dijumpai di kawasan rumah itu, namun rumah itu telah hangus terbakar.

    

Katanya beliau dimaklumkan bahawa kesemuanya adalah mayat penceroboh yang dijumpai di luar rumah itu.

    

Seramai 27 tertuduh warganegara Filipina dan tiga lagi rakyat Malaysia dituduh melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.  

Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.

   

Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

    

Mereka dituduh melakukan kesalahan masing-masing antara 12 Februari dan 10 April tahun lepas.

    

Perbicaraan hari ke-10 itu berlangsung di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah.

Perbicaraan disambung esok.

- Bernama