Dalam tweet terbarunya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pilihan raya kecil Kajang diadakan demi kepentingan seorang lelaki.

    

Dengan tidak menamakan lelaki itu, beliau menyatakan: "Tanpa memikirkan soal persaingan, pilihan raya kecil di Kajang bukannya mengenai rakyat tetapi lebih kepada kepentingan seorang lelaki #BETTERNATION."

    

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengumumkan bahawa penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang selepas penyandangnya Lee Chin Cheh meletakkan jawatan Isnin lepas.

    

Pengumuman itu menghangatkan lagi spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan  Abdul Khalid sebagai menteri besar.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata biar rakyat menilai tindakan pengosongan DUN Kajang sewenang-wenangnya bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding.

"Itu bagi saya satu tandatanya dan masih tak dapat jawapan dari mereka," katanya kepada media selepas menghadiri persidangan meja bulat bagi membincangkan masa depan sektor penerbangan negara di Sepang semalam.

    

Beliau juga berkata terpulang kepada masyarakat untuk menilai tindakan pengosongan itu sama ada ia melibatkan agenda peribadi.

    

"Terpulang kepada orang ramai untuk membuat keputusan tetapi untuk keadaan yang mana pihak itu sudah menang dan dikosongkan kerusi itu sewenang-wenangnya dan dicalonkan orang calon lain pula, saya rasa kalau itu bukan peribadi, saya tak tahu lagi apa yang tidak peribadi," katanya.

- Bernama

ADUN Kajang letak jawatan

MB: Anwar sah tanding kerusi DUN Kajang

Azmin: P'raya kecil Kajang langkah taktikal

MCA letak calon tanding PRK DUN Kajang