Syarikat 'Guruji' nafi serang akhbar Tamil
Rajayoga Power Transcendental Meditation Center Sdn Bhd (RPT) yang diasaskan Datuk Seri V Balakrishan – atau lebih dikenali “Datuk Seri Guruji” – menafikan terlibat dalam insiden pecah masuk di pejabat harian Tamil Malar semalam.
Pusat kerohanian itu menyifatkan dakwaan tersebut bertujuan meraih publisiti semata-mata.
Dalam e-mel penjelasan kepada Malaysiakini , RPT berkata, walaupun Tamil Malar banyak mengeluarkan artikel yang mencemarkan imej RPT, mereka tidak akan melakukan tindakan menyalahi undang-undang.
"RPT menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam kejadian itu, dan apa-apa percubaan untuk menghubungkan kita kepadanya, ia semata-mata untuk meraih publisiti murah.
"RPT tidak terlibat dalam apa jua kejadian di pejabat itu kerana kami adalah entiti yang mematuhi undang-undang. Kami tidak akan membiarkan apa-apa tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi memecah pejabat sebuah akhbar harian Tamil.
Katanya, peguam mereka juga sedang meneliti tindakan undang-udang kepada Tamil Malar .
Siasatan masih berjalan
Sementara itu, sumber polis hari ini memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa mereka masih menjalankan siasatan berkaitan kes itu.
Editor Tamil Malar Rajeswary Ganesan semalam mendakwa insiden tersebut berkaitan dengan RPT sejak mereka membuat liputan terhadap Guruji Disember lalu.
Dalam kejadian semalam, tiga lelaki bersenjatakan parang dan batang besi memecah pejabat syarikat itu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

