Pemuda PAS berkata idea pelan perdamaian nasional yang diumumkan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam tidak mempunyai agenda yang jelas berkenaan anak muda Malaysia dan agama.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata anak muda yang mewakili 40 hingga 50 peratus pengundi berdaftar negara ini, paling terjejas dengan isu seperti pengangguran, pendidikan, peningkatan kos sarahidup dan perumahan.

"Anak muda Malaysia sebenarnya merasa bosan dengan polemik politik yang tidak berkesudahan. Mereka mahukan pemuafakatan negara yang lebih harmoni dengan kerjasama ke arah mewujudkan negara yang aman, damai dan sejahtera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaizan turut menegaskan bahawa pemuda PAS menolak semua kerjasama politik kepartian antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, adalah lebih baik sebuah kaukus Parlimen diwujudkan daripada kerjasama politik.

"Selain itu, agenda pemuafakatan ini perlu diwujudkan sehingga ke peringkat kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Wakil semua parti politik dan NGO perlu dilibatkan sama dalam soal pembangunan negara, negeri dan daerah," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Najib berkata pelan perdamaian nasional yang diusahakan kerajaan akan berasaskan empat teras iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.

    

Menurut Najib, dalam mesyuarat kabinet semalam, anggotanya meneliti pelan untuk membangun dan menggalakkan persekitaran kondusif untuk dan dapat membantu menggalakkan perdamaian nasional menerusi perpaduan dan konsensus di dalam negara.

Suhaizan menambah, agenda agama turut tidak disentuh oleh pelan tersebut sedangkan isu kalimah Allah kini sedang menggugat keharmonian kaum Malaysia.

"Sentimen membenci antara agama sedang merebak dan sangat merbahaya kepada negara. Ada pihak sengaja bermain dengan isu sensitif ini untuk mendapat keuntungan peribadi kumpulannya," katanya.