Ada penduduk kurang senangi PRK Kajang
Ada penduduk tempatan yang kurang menyenangi tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat di situ.
Beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini masih kurang jelas akan manfaat pilihan raya kecil itu buat mereka.
Samuri Dahlan, 57, (kiri) tidak faham sebab pilihan raya kecil itu perlu diadakan kerana bekas wakil rakyat, Lee Chin Cheh masih hidup dan sihat.
Pemilik kedai makan itu berkata kerajaan negeri sepatutnya fokus kepada membangunkan bandar Kajang, dan bukan mencetuskan satu lagi pilihan raya kecil.
"Kenapa dalam masa terdekat kena ada pilihan raya? Sepatutnya (pilihan raya) ada bila wakil rakyat meninggal dunia.
"Jika penuhi kemahuan peribadi, tak perlulah menerusi pilihan raya.
"Tidak tahu kenapa ADUN itu letak jawatan, sudah pasti adanya pembaziran jika hanya suka-suka, buang masa dan duit," katanya yang memiliki nama sama dengan pengasas sate Kajang, Datuk Samuri Juraimi.
Seorang lagi pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Lilyzurey, 35, dari Taman Sungai Kantan, merasakan tindakan tersebut mempermainkan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya lepas.
"Bekas ADUN ini dia macam mempermainkan mandat rakyat kepada dia. Sesuka hati hendak bagi peluang kepada orang lain (Anwar).
"Sultan sudah perkenan dia sebagai ADUN. Sepatutnya kalau kes macam ini bekas ADUN perlu didenda. Dia tak boleh sewenang-wenang buat macam ini," katanya.
Rus Azlan Othman, 29, (kiri) dari Saujana Impian pula mahu kekosongan kerusi itu diisi segera demi manfaat penduduk Kajang.
"Tak tahu apa sebab dia (Lee) letak jawatan tapi tempat yang kosong tu perlu diisi dalam masa sebulan.
"Perkara ini ada pro dan kontra, buat dalam masa terdekat, PRK tak membazir sangat.
"Kalau buat lewat, kita rakyat tiada tempat mengadu, memang pembaziran masa, memang membazirlah PRK tu, tapi kalau tak buat PRK pun masalah juga," katanya.
Sementara itu, Chen Chooi Har, 36, berpendapat Anwar tidak diperlukan di Kajang dan berasa 'ditipu" dengan percaturan politik demikian.
"Saya rasa tertipu dengan PKR, Lee Chin Cheh menang dan saya tak nampak dia di sini, pengundi yang mengundi Lee pada 5 Mei buta sehingga menolak BN.
"Apa PKR buat sehingga ini belum jelas dan saya berasa ditipu," katanya.
Seorang suri rumah, Agnes Lee, 42, (kiri) kecewa kerana tahun lalu adalah kali pertama beliau mengundi di Kajang dan kini terpaksa keluar mengundi sekali lagi.
"Pilihan raya patut berlaku pada waktu khas, tetapi apabila anda (PKR) mengadakan pilihan raya itu sekarang, saya tidak bersetuju.
Beliau bagaimana pun masih belum membuat sebarang keputusan siapa yang mahu diundi pada pilihan raya kecil nanti.

