Ketatkan akta media, kawal wartawan: Penulis Melaka
Wartawan tempatan yang bertugas di sini dengan agensi media luar negara perlu dikawal dengan mengetatkan lagi Akta Hasutan, gesa Persatuan Penulis Melaka (Penama) hari ini.
"Kita lihat ada unsur-unsur penggunaan segelintir wartawan tempatan sebagai alat untuk memenuhi agenda pihak asing dalam menyebar maklumat yang menjejaskan kepentingan ekonomi dan imej negara," kata ketuanya Othman Muhamad kepada agensi berita nasional Bernama .
Persatuan itu juga menggesa kerajaan memperluaskan bidang kuasa Akta Penerbitan dan Mesin Cetak agar meliputi laman-laman web.
"Penama berpendapat jika tiada kawalan yang lebih ketat, penyebaran maklumat di negara ini bukan sahaja berlaku secara liar di laman web bahkan di media cetak," katanya.
Minggu lalu, kerajaan mengeluarkan beberapa kenyataan untuk mengetatkan undang-undang penerbitan, termasuk di Internet.
Pada 16 April lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata akta penerbitan akan dipinda bagi menjadikannya lebih "relevan dan berkesan."
"Kebanyakan hukuman yang diperuntukan di bawah undang-undang itu tidak lagi sepadan dengan jenayah yang dilakukan," katanya di Shah Alam, sambil menyebut contoh Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
"Saya menyebutkan Akta ini sebagai satu contoh kelemahan dalam undang-undang negara yang perlu ditangani bagi mengawal penyebaran fitnah melalui dunia teknologi maklumat yang canggih."
Mesej bunuh
Keesokannya, selepas merasmikan Universiti Islam Antarabangsa, beliau menegaskan lagi kawalan media, termasuk di alam siber, perlu diperketatkan selepas beliau "baru sahaja menerima mesej bahawa terdapat tulisan yang menyeru agar beliau dibunuh."
Pada 19 April pula, Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Leo Moggie menyeru kepada masyarakat antarabangsa agar tidak membenarkan laman-laman web dari negara masing-masing "menyebarkan fitnah" ke negara lain.
Sementara sehari selepasnya Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu pegawai-pegawai di kementeriannya sedang mengkaji beberapa akta untuk mengawal media dengan menyebutkan "berhubung keselamatan negara."
"Kerja-kerja (penyemakan semula undang-undang) ini telah pun dimulakan oleh pegawai-pegawai KDN dan kerajaan sedia menerima pandangan daripada pihak-pihak lain mengenai akta mana yang perlu dipinda," katanya.
Tambahnya, antara yang sedang dikaji oleh pihaknya ialah berhubung beberapa peruntukan yang berkaitan dengan undang-undang lama seperti denda yang dikenakan (terhadap pesalah) mengikut nilai mata wang zaman dahulu.
Selain undang-undang lama, beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji undang-undang baru seperti Akta Percetakan berikutan perkembangan baru dalam bidang teknologi maklumat (IT) dengan penggunaan Internet sebagai saluran penyebaran berita zaman sekarang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.