NGO bimbang populasi Pala'u meningkat
Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mencadangkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan kajian akademik mengenai populasi masyarakat Pala'u (Bajau Laut) di kawasan pantai timur Sabah, khususnya di perairan Semporna.
Naib Presidennya Luis Lidong berkata populasi masyarakat Pala'u semakin meningkat di kawasan itu dan mereka juga dikatakan tidak mempunyai sebarang dokumen dan oleh itu ada baiknya penyelidikan terperinci dibuat bagi membendung kehadiran orang Pala'u dari negara jiran.
"Ramai rakyat Sabah ingin tahu jumlah Pala'u asal yang sudah lama menetap atau menjalani kehidupan harian dalam bot di perairan Semporna, kerana risau mungkin ada orang Pala'u dari negara jiran yang cuba meresap dalam kalangan Pala'u asal di Semporna, tanpa disedari," katanya dalam kenyataan di Kotas Kinabalu hari ini.
Beliau berkata hasil kajian itu bukan sahaja menjadi bahan rujukan kepada cendekiawan atau penyelidik di pusat pengajian tinggi tetapi juga menjadi petunjuk kepada pihak berkuasa atau kerajaan untuk membuat tindakan susulan terutama daripada aspek keselamatan.
Sehubungan itu, katanya, Pekadin berharap kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya menimbang memberikan 'dokumen khas' kepada penduduk Pala'u asal dan JPN boleh membantu membanci penduduk Pala'u asal di pantai timur Sabah.
Luis berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan ekoran beberapa insiden yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara di kawasan pantai timur Sabah, termasuk pencerobohan pengganas dan jenayah penculikan di Pulau Pom Pom baru-baru ini.
"Kita tidak mahu orang Pala'u yang tiada dokumen (yang sentiasa menetap dalam bot) diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab atau penjenayah sebagai 'laluan mudah' untuk mereka masuk dan keluar dari perairan negara ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Imigresen dan JPN dapat segera mendokumentasikan orang Pala'u asal dengan memberikan kad pengenalan diri kepada mereka.
Beliau juga berharap pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dapat membantu menjayakan usaha murni ini.
- Bernama

