Bujang Ulis pemimpin sanggup kutip sampah
Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Bujang Ulis dikenang oleh penduduk tempatan sebagai pemimpin yang sanggup mengutip sampah dalam menjaga kebersihan surau.
Selain bekas guru dan pemimpin politik, penduduk di Kampung Semariang Jaya amat mengenali Allahyarham sebagai pemimpin masyarakat terutama dalam bidang keagamaan selain Pengerusi Surau Darul Amin, Kampung Semariang Jaya.
Seorang rakannya Osman Zulkipli, 63, berkata ciri-ciri kepimpinan jelas diperlihatkan Allahyarham dan sebagai contoh dia tidak segan-silu sama-sama membersihkan kawasan persekitaran masjid dan mengutip sampah setiap kali majlis yang diadakan di surau tamat.
"Paling saya ingat dalam dua tiga bulan ini, setiap kali sebelum mengimamkan solat, Allahyarham akan berpaling ke belakang dan berkali-kali mengingatkan agar solat dilakukan sebaik-baiknya kerana mungkin ini solat terakhir jemaah, satu perkara yang jarang dilakukan sebelum ini," katanya.
"Allahyarham tidak begitu mementingkan protokol, berjiwa rakyat, rapat dengan orang bawahan, peramah, serta mudah didekati antara faktor menyebabkan beliau disenangi ramai," kata Menteri Muda Perumahan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Bujang, 66, meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi selepas rebah di rumahnya di Kampung Semariang Jaya, Petra Jaya.
Wan Junaidi menyifatkan Bujang yang berasal dari Kampung Lintang, Simunjan sebagai pemimpin politik yang banyak menyumbang kepada pembangunan politik di Sarawak dan Malaysia.
"Kita kehilangan seorang pemimpin politik yang telah memberi kesedaran dalam corak politik di Sarawak, khususnya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli jawatankuasa protem Komunikasi Radio Amatur Bencana Sarawak (SARES) di pejabatnya di Kuching, hari ini.
Bekas Ketua Biro Bernama Sarawak, Openg Onn Net berkata beliau mula mengenali Allahyarham ketika bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching pada tahun 80-an.
"Ketika Allahyarham berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pelajaran, saya sering ikut untuk membuat liputan. Allahyarham dikenali sebagai seorang yang amat mudah didekati, baik serta peramah," katanya yang juga berasal dari Simunjan, tempat lahir Allahyarham.
- Bernama

